Kini, kampong kami di landa kemarau panjang. Padi kebanyakan telah habis dituai. Bendang (Sawah padi) kering kontang, yang ada hanya tunggul-tunggul jerami. Kini aktiviti penduduk terutama remaja dan anak-anak beralih kepada permainan wau. Di sebelah petang kelihatan berbagai jenis wau melayang-layang di udara dengan bunyi "denggung" yang agak kuat. Salah seorang pemain wau yang cukup berpengalaman yang saya temui iaitu En. Ismail Ishak (90 tahun) menjelaskan permainan ini telah bermula sejak lama dulu, malah ketika beliau masih kanak-kanak lagi, permainan ini begitu popular di sini. Kini beliau bermain dengan cucu-cucunya. Beliau mempunyai dua wau yang agak besar dan kebiasaannya dinaikkan bila petang dan diturunkan menjelang senja.
Satu lagi aktiviti remaja ketika ini adalah bermain bola sepak. Memandangkan kampong ini tidak mempunyai padang bola, maka tanah lapang yang kering berhampiran laut dijadikan padang bola. Padang sementara inilah yang menjadi tumpuan kanak-kanak dan remaja setiap petang.